Hening Syawal.

Batrisya masih lagi sibuk di dapur. Aroma biskut raya yang dibakar dari oven menusuk-nusuk ke lubang hidung. Sejak dua hari lalu gadis itu mengambil cuti sempena menyiapkan kuih-kuih raya yang bakal dibawa pulang ke kampung.

Mimah melontarkan tubuhnya ke atas kerusi. Rancangan di televisyen masih lagi memutar aksi chef dan hidangan berbuka puasanya. Sebuah keluhan dilepaskan, sambil dia mencapai kusyen kecil untuk didakap ke dada.

Mimah! Mai tolong aku sat!  Mimah menarik nafas mendengar teriakan itu. Dah agak dah mesti dia akan dipanggil!
Mimah!
Apa dia?

Batrisya yang sedang menyorong dulang kuih hampir terlompat. Tak sangka sepantas itu Mimah datang ke dapur.
Kau ni terkejut aku,  dia mengurut dada, membuatkan Mimah tersengih. Keadaan di dapur berselerak. Mimah menggeleng kepala. Anak mami sorang ni kalau buat kerja memang bersepah di sana sini. Tengoklah dapur ni. Sepanjang pagi selepas bersahur tadi, semuanya telah dikemaskan. Sakit lagi pinggang Mimah kerana mencuci lantai.

Ala… sorry la… nanti aku kemaskan la… jangan la marah ye?  Batrisya tersengih-sengih, tahu apa yang sedang bergolak dalam fikiran Mimah.
Kau tu suka sangat janji Melayu, tengoklah nanti masa bersahur esok siapa yang kemaskan,

Mimah menggeleng kepala, sambil menolak ke tepi besen-besen bekas bancuhan kuih Batrisya. Dia menyingsing lengan, lalu mula mencapai span dan sabun. Pinggan dan periuk belanga yang menimbun di dalam sink segera dicuci.

Awalnya kau balik Mimah?
Boringlah, aku tak masuk office pun lepas lunch hour tadi,
Tak masuk office? Habis kau pegi mana? Batrisya terkejut.
Aku cakaplah kat Puan Zubaidah tu aku pergi klinik. Lepas tu aku ronda-ronda la Jalan TAR, Mimah tersengih.
Kau ni Mimah… lain kali kalau nak meronda tu ajaklah aku sekali. Kalau aku tahu kau tak masuk office, tak payahlah aku buat kuih hari ni. Aku pun banyak lagi barang tak beli ni. Baju Melayu ayah aku… selendang mami aku… Batrisya mula resah.
Hmm… Batrisya… tahun ni aku rasa tak payahlah kau naik bas balik kampung. Apa kata kau sewa lori? Ni kuih raya kau ni dah berpuluh-puluh balang, mana nak angkut barang-barang kau lagi, kau tu kalau shopping aku tak percaya beli sehelai dua. Confirm! Sepuluh beg memang kau sapu! Mimah tersengih melihat muka kelat Batrisya.
Ala… mana ada sampai macam tu. Aku tiap-tiap tahun balik raya dengan bas okey je…
Kau ni asyik buat kuih, lauk nak berbuka dah masak belum? Ni dah pukul 6.30 dah ni…
Alamak!! Batrisya menepuk dahi. Tanda kesal yang amat sangat.
Aku lupa la! Mimah menggeleng kepala. Dah agak dah…..

Macammana ni Mimah? Batrisya keresahan. Dia memang sibuk sepanjang hari ni.  Tak apalah, kuih raya kau tu banyak kita makan aje la. Sebotol tu dah kenyang dah… Ala kau ni Mimah! Mimah tertawa melihat Batrisya menarik muka.

Dah… tak apalah, aku buat goreng sardin je la. Kau masak nasi, Batrisya sengih kembali. Dia tahu Mimah memang baik. Ni buat aku sayanggggg kat kau! Dia memeluk.

Ah! Jangan nak bodek-bodek, dah! Pergi masak nasi! Batrisya cuma tertawa manja.

***********************

Mimah merebahkan badan di atas tilam kecilnya, sambil mendengar alunan lagu hari raya dari corong radio comel di sisi. Malam ini dia tidak berterawih seperti biasa. Batrisya masih lagi di dapur, membuat dua jenis lagi biskut untuk dibawa pulang ke kampung. Memang begitulah rutin teman rumahnya itu setiap tahun. Kadang-kadang seronok juga menyakatnya.

Mimah menghela nafas panjang. Penat di pejabat tadi membuatkan dia lebih selesa berbaring di dalam bilik. Dia membilang jari, tinggal 2 minggu lagi umat islam akan menyambut Aidilfitri. Di pejabat, suasana pengagihan kuih-kuih raya yang ditempah sedang rancak berlangsung. Kak Bedah Typist yang pandai membuat Tat Nanas itu pun pagi-pagi sudah menolak troli balang-balang kuihnya. Kak Leha pejabat sebelah pun, datang memberitahu esok dia akan bawakan Meruku yang ditempah.

Kau ambillah sekampit dua Mimah… aku beri kau RM4.00 aje sekampit. Jangan bising kat orang lain ye?
Tak apalah kak Leha, saya bukan tak mahu order tapi…

Alah kau ni Mimah! Tiap-tiap tahun aku jual kuih tak pernah kau beli, kenapa? Nanti kau nak balik kampung nak balik tangan kosong ke? Ambillah satu… untuk mak kau kat kampung… Kak Leha masih memujuk.

Mimah tu bukannya ada kampung Kak Leha! Tak payah jual kat dia kuih-kuih raya… Sampuk Fizah sambil tersengih.
Ishhh… sibuk ajelah kau ni Fizah. Dia ada kampung ke… tak ada kampung ke… itu hal dia la!
Ala Kak Leha… Fizah menghampiri meja Mimah.

Bukan saya tak tahu… tiap-tiap tahun mana pernah Mimah ambil cuti raya. Tengok punch card dia tu kalau tak percaya. Esok raya, hari ni ada lagi kat office.
Ish… kampung kau dekat sini je ke Mimah?

Apa pulak kat sini Kak Leha… nu kat Pahang nu…
Sibuk ajelah kau ni Fizah jaga hal orang. Kau ni, kalau taruk kat tempat pendaftaran surat rahsia agaknya, surat belum sampai dah heboh satu office! Abang Bidin memberi amaran. Bukan dia tak perasan wajah Mimah sudah berubah. Mimah pun, tak terkata bila dikenakan begitu. Dia pun tak menyangka, sejak Kak Salmah bersara tiga tahun lalu, pengganti Bahagian Cuti dan Perkhidmatan kali ini suka menjaga tepi kain orang.

Mimah mengiring ke kiri. Sekeping potret keluarga dikeluarkan dari celah diari. Dia terasa sebak tiba-tiba melihat gambar emak dan ayah tersenyum. Di belakang mereka, berdiri adik-beradik lain seramai 7 orang. Air matanya jatuh tiba-tiba. Demi tuhan, rindunya pada keluarga tuhan saja yang tahu. Masih dia rindu masakan emak, terutama sekali bila Ramadhan menjelma.

Pada puasa pertama, ayah akan menangkap ayam seekor dua untuk disembelih. Nanti berebut adik-adik hendak membantu mencabut bulu. Ayam itu akan emak masak Gulai lemak Cili Padi. Kemudian, emak hidangkan bersama celur pucuk gajus, atau pucuk betik ataupun pucuk ubi bersama sambal belacan.

Abang Zaha pula mencari buah kabung beberapa hari sebelum puasa. Memang tiap-tiap tahun abang sulungnya itu akan menjual biji kabung rebus untuk dijadikan manisan berbuka puasa. Memang sedap air cendol yang dimakan bersama buah kabung yang berwarna jernih. Kak Milah pula, akan sediakan kerabu kangkung atau kerabu paku dan mereka bersama-sama berhidang dan berbual itu dan ini. Mimah memejamkan mata, tak mampu mengenangkan suasana ceria dan harmoni itu berlangsung di memorinya.

Alangkah bagus sekiranya peristiwa itu tidak terjadi, dan dia amat pasti waktu-waktu begini dia bahagia di sisi keluarga tercinta?

Mimah mengesat air mata yang berlinangan. Dia menarik nafas panjang dan menutup lampu. Biarlah segala-galanya luput disapu angin malam….

Lagu “Kepulangan Yang Dinanti” berbunyi kuat, malah seluruh pejabat ini boleh mendengarnya. Mimah cuma menggeleng kepala, malas dia hendak menegur apa-apa.

Hoi Fizah! Kalau iye pun dapat radio baru, janganlah nak pasang kuat-kuat. Tau la nak raya tak lama lagi… Zaidi bangun dari kerusi sambil bercekak pinggang.

Saja… aku ni tak sabar-sabar lagi nak balik raya, tak boleh? Fizah tersengih-sengih sambil menguatkan lagi volum. Zaidi menggeleng kepala, malah semua orang di pejabat ini turut menggeleng kepala. Tadi Abang Din sudah menegur, malah Kak Sarimah yang sedang mabuk teruk itu pun dua tiga kali minta Fizah perlahankan radio. Namun semuanya bagai mencurah air di daun keladi.

Keras kepala betul! Zaidi merungut-rungut. Mimah mencampakkan pen di atas mejanya. Dia pun sebenarnya dari tadi menahan sabar dengan perangai Fizah yang langsung tak bertimbang rasa.
Fizah, Mimah berdiri betul-betul di belakang Fizah.

Ada apa? kasar saja suara Fizah. Wajahnya sudah berkerut, mungkin tak menyangka orang paling pendiam di pejabat ini akan datang padanya.

Tolong perlahankan sikit volume radio tu, tak boleh buat kerjalah. Bising,

Hai… bising ke… hati kau sakit dengar lagu raya? Fizah terkekeh-kekeh kecil. Sengaja memancing marah.
Kau nak pasang lagu raya ke… lagu raya cina ke… lagu raya Deepavali ke… pasanglah. Aku tak hairan, tapi tolong perlahankan sikit.

Eh… ni radio aku tau, suka hati aku la nak pasang kuat ke perlahan ke… kau tu memang sakit hati kan dengar lagu raya… fasal… kau memang tak balik raya kan?
Kau nak perlahankan ke… atau kau nak aku yang perlahankan?

Eleh… berlagak baguslah tu… kalau kena buang keluarga tu… Tup! Suasana yang berirama tadi kini sepi. Mimah mengangkat kening sambil meletakkan plug radio di atas meja Fizah. Teman-teman sepejabat lain memandang ke arah meja Fizah sambil mengeluh lega.

Kita ni satu tempat kerja, tolong hormat orang lain, Mimah kembali ke mejanya. Kerjanya yang terbengkalai tadi disambung kembali. Namun tiba-tiba radio Fizah kembali berbunyi, kali ini lebih kuat. Kak Sarimah yang sejak tadi mengurut kepala kini bergegas keluar menuju ke toilet. Mungkin dia sudah tidak tahan dengan bunyi-bunyi yang menyengat kepalanya.

Mimah mengetap bibir. Kali ini dia mendengar suara Fizah sekali menyanyi-nyanyi. Tanpa lengah dia kembali semula ke meja Fizah.

Kau tak sayang radio kau ke?

Kau tak sayang radio kau ke?

Fizah mengejek-ejek dengan suara mengada-ngada. Mimah tak tunggu lama. Pantas dia mencabut plug dan mengangkat radio.

Eh! Kau nak buat apa ni?

Fizah panik. Mimah diam, sambil menjinjing radio itu menuju ke belakang. Fizah bangun dan mengekori Mimah. Teman-teman lain turut bangun.

Mimah! Pulang balik radio aku! Mimah tersenyum sinis sambil membuka tingkap belakang.
Mimah! Kau jangan cari fasal ye? Fizah memberi amaran.

Baik kau…. belum habis ayat, radio di tangan Mimah kini sudah tiada. Fizah ternganga. Tak lama kemudian dia dapat mendengar bunyi berkecai nun di bawah. Mimah menyapu tangan sambil meninggalkan Fizah yang kini cuma melihat bangkai radio barunya berkecai di bawah.

Suasana bilik berhawa dingin itu sepi. Yang kedengaran cuma esakan kecil di sebelah Mimah.
Saya tak tahu apa salah saya pada dia Encik Suhaimi. Saya tak kacau dia, saya buat kerja saya… tapi… Esakan Fizah semakin menjadi-jadi.

Sudahlah tu… jangan menangis. Bulan puasa macam ni, tak elok bergaduh… Pengurus muda itu menghulurkan tisu. Fizah tanpa segan silu menyambut sambil teresak-esak.

Tapi, macammana dengan kerugian saya Encik Suhaimi?  Fizah sudah menjeling ke arah Mimah di sebelahnya.

Tak apa Hafizah, awak keluar dulu. Saya ada hal nak bincang dengan Amimah, tenang saja suara lelaki itu.
Terima kasih Encik, Fizah menolak kerusi, dan keluar dari bilik.

Bilik itu kembali sunyi. Mimah cuma tunduk merenung jari-jarinya. Malas dia hendak berada lama di bilik ini.

Saya cuma dengar cerita dari sebelah pihak, sekarang saya nak awak pula beritahu saya cerita dari awak. Mimah cuma menarik nafas.

Semua cerita tu betul Encik Suhaimi. Memang saya yang lambung radio dia ke bawah. Lelaki itu tersenyum. Sejak dia berkhidmat di pejabat ini, belum pernah lagi dia dapat mendengar suara gadis pendiam itu. Memang dia tak sangka gadis yang nampak lurus itu akan melakukan perkara sebegitu.
Jadi, awak mengaku salah? Mimah mengangguk. Malas dia hendak memanjangkan cerita. Buruk atau baik, memang dia lega kerana radio Fizah tidak lagi berbunyi. Sekurang-kurangnya dia perlu belajar agar jangan terlalu mementingkan diri sendiri. Kalau setakat ganti rugi itu, bila-bila dia boleh bayar harga radio yang tak sampai RM200.00

Hmm… nampaknya saya terpaksalah denda awak, Denda? Mimah mengerut kening.

Saya tak mahu kotorkan laporan prestasi awak, jadi awak kenalah buat kerja lebih masa untuk Fizah, Mimah mengerut lagi lama. Lelaki itu cuma tersenyum selamba.

Setuju tak? Seronoklah perempuan tu nanti kalau dia tahu! Tapi, takkan kerana hal kecil tu aku nak laporan prestasi aku teruk. Kerjasama dengan rakan sekerja memang dititikberatkan oleh syarikat ini. Lagipun si Fizah tu kalau tak puas hati jumpa General Manager pun dia sanggup.

Tengoklah kes radio tu, belum apa-apa dah report pada boss. Mimah tak berkata apa-apa, cuma mengangguk perlahan.

Good, nanti saya beritahu Hafizah. Awak boleh keluar dulu, Mimah masih lagi leka menaip saat Azan Maghrib bergema. Suasana pejabat yang sudah lengang itu terasa cukup sunyi sekali. Cepat-cepat dia bangun, lalu menuju ke pantry. Segelas air sejuk penghilang dahaga diteguk. Mimah melihat jam. Dia mengeluh sendiri. Kerja-kerja yang Fizah tinggalkan masih tebal lagi. Tuhan saja yang tahu betapa geramnya dia dengan perempuan itu. Mentang-mentang boss bagi muka, ambil kesempatan. Dia kini tentulah seronok-seronok di kampung. Mimah menarik nafas dan melangkah keluar tetapi…
Uppss! nyaris mereka berlaga.

Saya tengok awak tak ada kat tempat, sebab tu saya cari kat sini, Mimah cuma diam. Lama dia memandang boss dengan tanda tanya.

Dah buka puasa? Encik Suhaimi bertanya, walaupun dia cuma nampak segelas air kosong di tangan Mimah.

Saya belikan makanan, dia menghulurkan dua bekas kepada Mimah. Mimah mengangkat kening. Belikan?
Jom, kita makan? Encik Suhaimi merenung wajah Mimah.

Kalau macam tu, saya sembahyang dulu, Mimah mencuci gelas.

Err… Encik Suhaimi tak sembahyang dulu ke? sempat dia bertanya sebelum melangkah menuju ke surau. Encik Suhaimi cuma tersengih sambil menggaru kepala yang tidak gatal

Hari ini, sudah 25 Ramadhan. Beberapa hari saja lagi anak-anak kota akan beransur pulang ke kampung halaman masing-masing. Mimah cuma melihat saja lampu-lampu kereta yang bersimpang siur di luar sana.

Ada beberapa tugasan lagi perlu dia selesaikan sebelum pulang ke rumah sewa. Dia tahu, saat ini mesti Batrisya sibuk mengemas apa-apa yang patut.

Termenung?
Eh! Encik… Mimah tersedar. Segera dia kembali ke mejanya dan menyambung kerja.
Banyak lagi yang belum siap ke? Suhaimi membetulkan cermin matanya.
Boleh tahan, jawab Mimah ringkas.

Kalau tak sempat habis, awak sambunglah lepas raya nanti, Suhaimi bersuara. Tak sampai hati pula dia melihat kesungguhan gadis pendiam itu. Sejak minggu lepas mereka menyelesaikan beberapa report penting, dia dapat merasakan Mimah sangat komited terhadap tugas yang diberikan.

Bila awak cuti raya? Mimah terdiam. Tak sangka itu yang akan keluar dari mulut lelaki itu. Dia tekun menaip, tak menghiraukan pertanyaan itu.

Saya raya sendiri tahun ni, Suhaimi menarik kerusi, duduk tidak jauh dari meja Mimah.
Mimah kampung di mana? Mimah terhenti.

Saya tak pernah merasa beraya di kampung. Mak ayah orang KL, tapi sekarang ni dia orang umrah di Mekah, hari raya kelima baru balik,

Raya di mana-mana pun sama Encik, perlahan saja suara Mimah. Lelaki itu tersenyum.
Saya teringin sangat nak merasa beraya di kampung, kawan-kawan saya kata, beraya di kampung ni seronok, Suhaimi tersenyum, cuba membayangkan suasana itu.

Kalau hari raya, apa hidangan utama keluarga Mimah? Mimah mendiamkan diri. Lama dia merenung skrin komputernya. Kata-kata lelaki itu benar-benar menggugat hatinya. Kala itu wajah emak dan ayah mula terbayang.

Encik, ada apa-apa lagi ke? Kalau ada apa-apa yang perlu saya buat encik letaklah di atas meja ni. Kalau tak ada apa-apa, tolong tinggalkan saya di sini. Saya tak boleh buat kerja kalau ada orang memerhatikan saya, pinta Mimah, perlahan tapi tegas. Suhaimi sedikit terkejut tak terkata.

Saya tak ada niat nak mengganggu,
Saya tahu, tapi saya tak boleh encik memerhatikan saya di sini, maafkan saya, Suhaimi menganggukkan kepala dan bangun dari kerusi.

Mimah… Mimah menoleh.
Anggaplah saya ni kawan kalau tak keberatan. Sejak saya berkhidmat di sini 6 bulan lalu, saya lihat awak lebih suka menyendiri. Saya rasa awak perlukan kawan dan saya sedia menjadi pendengar apa saja masalah awak Mimah. Mimah cuma tunduk. Tak ada sesiapa yang akan faham apa yang membelenggu jiwanya. Semua orang di dunia kota ini mementingkan diri sendiri.

Setitis… air mata Mimah gugur sewaktu lelaki itu melangkah ke biliknya….

Sejambak bunga segar diserahkan kepada Mimah, membuatkan gadis itu terkejut. Kenapa ni Encik Suhaimi? Mimah sudah merah padam.

Saja, belikan untuk awak, Suhaimi senyum. Mimah teragak-agak.  Ambil sajalah orang dah beli… cuba awak ceria sikit… Mimah tersenyum kecil, terasa lucu pula dia bila dilayan begitu.

Terima kasih,
Sama-sama… esok jangan lupa, saya belanja awak makan buka puasa di Klang pulak, Klang? Jauh tu,
Tak apa, lepas siapkan kerja kita pergilah. Saya dah tempah table, Suhaimi senyum.

Saya, saya tak mahu nanti orang mengata pula Encik Suhaimi,
Biarlah, dia orang ada mulut, kita tak boleh tutup mulut orang Mimah… Mimah senyum, terasa ada ketenangan yang dibentuk oleh lelaki itu dua tiga hari ini.

Saya keluar dululah Encik Suhaimi. Terima kasih sebab hantar balik dan, bagi bunga ni,
Tak apa, kalau bunga ni membuatkan awak ceria, hari-hari saya belikan pun tak apa, kata-kata itu membuatkan Mimah tergelak kecil.

Ha… kan bagus kalau ketawa macam tu… okeylah Mimah, saya balik dulu, assalamualaikum,
Waalaikumsalam, Mimah masih lagi tercegat melihat kereta itu berlalu.

Amboi… amboi… cik Mimah… ni buat kerja overtime ke pergi dating ni? tak sedar Batrisya dah lama mengendap rupanya. Mimah cuma sengih, termalu. Dia menanggalkan kasut dan masuk ke rumah.

Amboi, boss bagi bunga, ni mesti ada apa-apa…
Apa-apanya? Tak adalah!

Hei Mimah… kau jangan nak kelentong aku la… ni pakar cinta tau? Nu… satu tanjung kenai sapa nama Batrisya tau… mai sini cek nak habaq, kalau fasal chenta ni… semua dalam tangan cek tau! Batrisya bersila di atas kerusi sambil mengangkat kening.

Eleh… macamlah dia tu tau sangat fasal cinta…

Mimah sayang… orang lelaki… kalau dia suka kat kita, dia try buat semua benda yang kita suka. Hang tak percaya hang test kat dia esok! Mula-mula dia soh la kita percaya kat dia… lepas tu dia racunlah kita dengan bunga la… coklat la… toyu la… bagi suka kat dia. Ala, depa semua tu aku tau sangatlah! Mimah tergelak.

Kau ni Batrisya… macam mami jarum! Kalau bercakap kepala putaq-putaq!
Ishh… best la hang no… dapat bunga… dapat boss handsome… apa petua hang ni Mimah?
Petua? Kau kena kurangkan bercakap, Mimah mengusik.

Mimah… aku nak bagitau ni, aku nak balik kampung dah lusa. Tu, aku bagi kau sikit kuih-kuih raya untuk bawa balik kampung. Air muka Mimah berubah. Dia menarik nafas berat.
Kau ni, sengaja nak perli aku ke Batrisya? Kau kan tahu aku beraya di sini saja?

Kau… tak mahu balik kampung lagi ke? Batrisya memandangnya lama. Selama tujuh tahun mereka bersama-sama menyewa di sini, selama itu jugalah Mimah akan beraya sendirian di rumah sewa ini.
Mimah, kita ni ada mak bapak satu je di dunia ni. Baliklah tahun ni Mimah… lupakanlah semua perkara sedih tu,

Kau tak faham Batrisya…
Aku mungkin tak pernah alaminya Mimah, tapi kau kenangkanlah perasaan keluarga kau. Dah tujuh tahun Mimah. Tujuh tahun kau hilangkan diri tanpa berita. Mereka mesti risaukan kau.

Aku tak boleh Batrisya. Bukan aku tak cuba tapi tak boleh. Kau percaya tak aku pernah patah balik ke KL waktu sampai di bandar negeri aku. Aku tak boleh! Air mata Mimah mula bergenangan. Batrisya memeluknya erat.

Kita kawan dah lama Mimah. Maafkanlah aku kalau aku menyinggung perasaan kau. Tapi, janganlah hukum diri kau yang tak bersalah tu. Kau tak bersalah atas apa yang terjadi. Kembalilah kepada keluarga yang masih menyayangi kita Mimah, Batrisya merenung Mimah lama. Mimah menarik nafas perlahan.
Aku tau niat kau baik Batrisya. Tapi aku memang tak berdaya. Dia menghela nafas.

Kau masih belum dapat lupakan dia kan? kata-kata Batrisya itu membuatkan dia mengeluh. Kata-kata Batrisya itu terlalu mendalam menusuk hatinya.

Mimah… dah tujuh tahun Mimah… fikirlah! Dia takkan menunggu kau selama itu, dan aku yakin mereka dah bahagia waktu ni Mimah. Cuma janganlah simpan lagi rasa jauh hati dan kecewa kau tu. Bukalah fikiran dan minda kau. Ada insan lain yang sedang mengisi kekosongan tu Mimah.

Mimah tersenyum.
Aku dah tak terbuka hati lagi Batrisya. Cukuplah sekali cinta aku dirampas, kau ni degil Mimah. Kau takkan tak sedar Suhaimi tu menaruh hati pada kau. Jangan bohongi diri sendiri Mimah, Mimah mengeluh.

Suhaimi… ya, dia akui akhir-akhir ini lelaki itu melayannya dengan baik. Malah, lelaki itu belum pernah lagi mengambil kesempatan atau apa. Tapi, dia takkan sama dengan Azam!

Aku masuk dalam dulu, Mimah bangun meninggalkan Batrisya sendirian di situ….

Ayah, raya tahun ni Inah nak baju warna kuning. Inah tak mahu sama dengan Mimah,  Kenapa pula? Kan dari kecil Inah dan Mimah suka pakai baju sama? Malulah! Macam budak-budak. Inah kan dah besar, boleh ye ayah?

Mimah tersenyum sendiri. Inah… entah macammana rupa Inah sekarang agaknya? Adakah dia sama seperti dulu? Rambutnya adakah masih kekal panjang?

Mimah bersandar di dinding, sambil menatap sekeping gambar dua kembar seiras yang memakai seragam sekolah. Dia cuba mencari perbezaan di gambar itu, tetapi sedikit pun tidak kelihatan. Semuanya begitu serupa, potongan rambut, beg sekolah dan juga senyuman. Dia tahu, sejak kecil malah hingga dewasa, dia dan Inah sering mengelirukan mak dan ayah.

Dia tahu, dalam hubungan mereka, dia yang banyak beralah. Kalau ada barang-barang Mimah yang berkenan di hati Inah, dia akan berikan. Malah kalau ayah ke bandar membeli baju, dia akan pastikan Inah mendapat yang lebih cantik dan harganya lebih mahal. Memang dia tahu Inah ingin segala-galanya lebih untuk dirinya. Pun begitu, dia tak pernah berkecil hati. Dia tak kisah jika Inah lebih cantik darinya.

Inah memang bijak berbanding dirinya sendiri. Dia cuma sederhana saja dalam pelajaran, tetapi Inah sebaliknya. Mungkin kerana kelebihan itu, Inah akan mendapat hadiah dari ayah setiap tahun kerana menjadi pelajar nombor satu di kelas. Mimah sedar akan kelebihan kembarnya itu dan dia juga tahu, ayah tak bersalah sekiranya menunaikan semua permintaan Inah kerana Inah memang dijanjikan begitu asal berjaya dalam pelajaran.

Maka, bila Inah berjaya ke universiti selepas tamat tingkatan lima, Mimah turut menghantarnya dengan penuh bangga. Tak pernah lagi Mimah berasa iri hati atas kelebihan Inah. Tinggallah dia di kampung, bekerja di pekan sebagai kerani dengan gaji yang cuma RM300.00 sebulan. Dan, manalah Mimah tahu, semasa dia berulang alik dari kampung ke pekan, ada sepasang mata memerhatikannya.

Tiga bulan menjalinkan kasih dengan Azam, jurutera muda yang mengendalikan projek jambatan baru ke kampungnya, Mimah dilamar. Memang tuah datang bergolek kerana, selama ini Mimah tidak tahu Azam anak teruna tunggal seorang hartawan di Kuala Lumpur. Majlis pertunangannya telah dihadiri dengan kereta-kereta mewah pelbagai jenama dan rupa. Heboh sekampung akan kehebatan bakal besan keluarga Tahir.

Namun, Mimah tak pernah rasa megah dan bangga. Dia mencintai Azam kerana hati budinya. Bukan kerana harta dan kedudukan keluarganya. Tetapi Mimah tak menduga sesuatu yang cukup melukakan hati akan terjadi.

Air mata Mimah makin lebat menitik ke pipi. Hanya tuhan yang tahu betapa hancurnya hati bila berdepan dengan realiti yang memedihkan.

Malam minggu itu memang tarikh keramat. Malam yang membuatkan dia terasa seperti ingin mati hari itu juga. Dia masih terdengar tangisan emak dan kak Milah semasa Abang Mustapa menyampaikan berita Inah ditangkap khalwat. Dan, lebih memedihkan lagi lelaki yang bersamanya malam itu adalah Azam, tunangnya sendiri. Di rumah sewa Azam, malam itu juga, ayah menegaskan agar Azam dan Inah dinikahkan.

Dan, waktu itulah… Mimah telah pergi meninggalkan keluarga, kembar dan tunang yang dikasihi. Hingga kini, sudah tujuh tahun peristiwa itu berlalu, dan Mimah tak pernah kembali ke kampung.

Mimah mengesat air mata yang tumpah ke pipi. Kadang-kadang, ingin saja dia menyalahkan dirinya kerana sering mengalah dan mengalah. Dia tak tahu, bila Inah pulang ke kampung, dan tiba-tiba pula ditangkap basah di rumah Azam. Namun, dia tahu Inah cemburu dengan kebahagiaan dia dan Azam.

Demi tuhan, jika dia tahu Inah cemburukan kebahagiaan dirinya, dia rela memutuskan pertunangan. Janganlah sampai dia ingin merebut Azam dengan cara melukakan dan memalukan mak dan ayah.

Bukan dia tak rindukan mak dan ayah. Malah dia teramat sengsara selama tujuh tahun ini menanggung segala rindu itu. Namun, hatinya yang terluka ini tak lagi sembuh lukanya. Bagaimana harus dia berdepan dengan Azam yang pernah menjadi kekasih dan tunang? Selama tujuh tahun ini belum pernah lagi dia melupakan lelaki itu, malah cincin pertunangan mereka masih terjaga hingga ke hari ini.

Maka, dek kerana itu dia sanggup membiarkan tujuh tahun itu bersilih pergi dan dia masih lagi di sini menyambung kemestian hidup di rantau orang. Dia lebih rela bersendiri daripada terluka lagi. Bukan tak pernah dia terserempak dengan ahli keluarga Azam semasa di Sogo atau di KLCC. Ibu Azam kerap menempah baju di butik-butik terkenal di situ, dan kadang-kadang dia terlihat dua orang budak kecil yang comel menemaninya. Mungkin, itulah anak-anak Azam dan Inah kerana keduanya ada iras Inah. Tentu kebahagiaan yang jitu bertapak antara mereka, dan, entah-entah Azam sudah melupakan dirinya. Manalah tahu?

Mimah membuka tingkap dan merenung wajah malam yang penuh dengan beribu bintang berwarna cerah di dada langit. Saat ini rindunya pada mak dan ayah semakin memuncak. Ya Tuhan! Apa yang telah kulakukan? Tujuh tahun aku berdosa kerana mengabaikan keduanya. Bukan mudah untuk dia merawat luka yang tercalar di hatinya. Selama itu juga dia tersiksa lantaran rindukan kampung halaman dan sanak saudara. Tapi, apa lagi yang harus dia lakukan? Kembali ke desa dan menatap wajah Inah dan Azam serta anak-anak mereka bisa membuatkan air matanya terusan menitis. Dia tak mampu untuk menipu diri bahawa Azam bukan miliknya lagi. Dia tak mampu melihat orang yang dicintai kini sudah dimiliki oleh adik kembarnya sendiri.

Biarlah orang kata dia derhaka, atau mungkin anak tak mengenang budi. Dia tak sanggup menyambut syawal dengan hati luka dan wajah sayu mak dan ayah. Tak mungkin dia dan Inah akan jadi seperti dulu dan mereka tentunya menjadi orang asing di rumah sendiri. Tapi… adakah mak rindukan aku seperti aku rindukannya? Air matanya mula bercucuran. Ampunkan Mimah mak!

Takbir beralun syahdu tatkala dia tiba di perkarangan rumah tua itu. Mimah berdiri, lama merenung kembali nostalgia yang telah lama ditinggalkan. Demi tuhan, kala itu segala rindunya semakin luruh. Ruang laman yang dipenuhi kanak-kanak bermain tadi kini senyap sekejap, melihat ada seseorang yang asing turun dari teksi.

Mimah terasa air matanya bergenangan bila melihat sekujur tubuh tua menerpanya. Ada tangisan pilu di matanya. Ada pula lelaki tua dan muda mendapatkannya, memeluk tanda kerinduan yang teramat sangat. Kanak-kanak tadi semakin kehairanan. Di celah pelukan dan sayu pilu, seorang gadis berambut lurus turun. Mimah hanya memandang, dan ternyata renungan itu turut sama menikam ke arahnya.

Mana kau pergi selama ni Mimah? Puas mak cari kau nak… Tangisan emak masih lagi bersisa. Mimah tidak menyambut. Hanya matanya saja tertumpu ke arah Inah yang berdiri tidak jauh darinya. Dua orang anak perempuan comel berlari dan mendapatkan Inah, memeluk erat bagai tak mahu melepaskan. Mimah menarik nafas panjang. Wajarkah dia memarakkan lagi api kekecewaan dan air mata kesedihan atas sesuatu yang terjadi tujuh tahun lalu? Dan, apakah wajar dia mengungkit segala-galanya untuk melepaskan apa yang tersimpan selama ini?

Mimah… dia cuma tenang semasa Inah menghampiri.

Maafkan aku! Inah memeluk Mimah. Lama dan erat. Tak dipedulikan dua orang anak comel di sisinya. Mimah hanya mampu menitiskan air mata. Dia tak pasti apakah itu air mata redha atas apa yang terjadi, atau air mata kasih seorang kembar kepada adik kembarnya.

Azam dah lama pergi, dia sakit kuat, sekali lagi Mimah, maafkan atas segala perbuatan jahatku! bisikan Inah itu membuatkan hatinya terlonglai. Hanya anak matanya saja merenung dua wajah comel di sisi Inah yang tak mengerti apa-apa.

Tatkala itu juga sebuah kereta menyusur masuk, dan seketika kemudian muncul Suhaimi yang tersenyum ke arahnya. Mimah semakin pasrah dengan takdir Ilahi di pertama Syawal ini! Perlahan, pelukan Inah dibalas erat. Terlerai segala pahit dan duka lalu.

Kita kan bersaudara Inah… air mata semakin galak mengalir….

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *