Setiap malam, tepat pukul sembilan, telefon Hafiz akan berdering.Nama yang muncul di skrin tidak pernah berubah.Ayah.Mula-mula Hafiz menjawab dengan sabar.
“Assalamualaikum, ayah.”
“Waalaikumussalam… Hafiz, esok kamu balik tak?”
Hafiz akan senyum kecil walaupun matanya masih melekat pada skrin laptop, dengan fail kerja yang tak habis-habis terbuka di depan mata.
“Tak balik lagi, yah. Minggu ni banyak kerja. Insya-Allah minggu depan Hafiz balik.”
Ayah di hujung talian akan diam sekejap. Kemudian suaranya kedengaran perlahan.
“Oh… tak apa. Kerja elok-elok. Jangan lupa makan.”Itu sahaja.
Perbualan mereka biasanya tidak sampai dua minit.Tetapi sejak dua bulan lepas, soalan itu menjadi soalan wajib. Kadang-kadang ayah menelefon dua kali sehari.
Kadang-kadang tiga kali.
“Esok kamu balik tak?”
“Bila kamu balik?”
“Kamu cuti hari Jumaat ni?”
Pada mulanya Hafiz menjawab elok. Lama-kelamaan, dia mula rasa letih.Bukan dia tak sayang ayah.
Hafiz anak sulung. Sejak mak meninggal lima tahun lepas, dialah yang paling banyak menguruskan hal rumah kampung. Bil elektrik, ubat ayah, barang dapur — semuanya dia cuba bantu dari jauh.
Duit tak pernah putus dia kirim.Cuma masa sahaja yang selalu tidak cukup.Kerja di Kuala Lumpur bukan mudah. Balik pukul lapan malam sudah dikira awal.
Ada hari dia makan malam pun di meja pejabat.
Ada hari dia tertidur dengan baju kerja masih melekat di badan.Jadi apabila telefon ayah berdering lagi pada satu malam Khamis, Hafiz hanya memandang skrin.
Ayah calling…Dia mengeluh.“Ya Allah, ayah ni…”
Telefon terus berdering.
Hafiz sedang menyiapkan laporan penting untuk mesyuarat esok pagi. Kepalanya berdenyut. Matanya pedih. Hatinya berkata, angkatlah. Tetapi tangannya tidak bergerak.
Panggilan itu terhenti.Tidak sampai seminit, telefon berdering lagi.
Ayah calling…Hafiz memicit dahi. Kali ini dia tekan butang senyap dan letakkan telefon terbalik di atas meja.
“Esoklah aku call balik.” Malam itu, Hafiz tidak tahu bahawa ada sesuatu yang sedang perlahan-lahan hilang daripada hidup ayahnya.
Bukan duit.Bukan tenaga.Tetapi ingatan.
Pagi esoknya, Hafiz dikejutkan oleh mesej WhatsApp daripada adiknya, Hani. Hani anak kedua. Tinggal di kampung bersama suaminya, tidak jauh dari rumah ayah.
Berbanding Hafiz, Hani lebih kerap menjenguk ayah. Hani juga yang selalu membeli lauk, menghantar ayah ke klinik, dan menemani ayah kalau malam-malam ayah rasa sunyi.
Mesej Hani pendek sahaja.Abang, ayah sorok buku nota bawah bantal. Hani baru jumpa. Abang tengok ni.Di bawah mesej itu ada gambar sebuah buku nota kecil berkulit biru. Mukanya lusuh, bucu-bucunya sudah kemik.
Hafiz membuka gambar kedua.Halaman pertama buku itu dipenuhi tulisan ayah. Tulisan itu senget-senget sedikit, tidak sekemas dulu. Ada huruf yang besar, ada huruf yang kecil. Seolah-olah ayah menulis dalam keadaan tergesa-gesa, takut terlupa sebelum sempat mencatat.
Di bahagian atas tertulis:
Nama aku: Ismail bin Rahman.
Rumah aku: Kampung Sungai Merbau.
Isteri aku: Salmah. Sudah meninggal. Jangan cari dia di dapur.
Hafiz terdiam.
Dadanya tiba-tiba terasa sempit.Dia leretkan jari ke gambar seterusnya.D
i situ tertulis nama anak-anak.
Hafiz — anak sulung. Kerja di KL.
Hani — anak kedua. Rumah dekat simpang besar. Suami dia nama Farid.
Rafiq — anak bongsu. Lama tak balik. Jangan marah dia. Dia tetap anak aku.
Nama Rafiq membuatkan Hafiz menelan air liur.Rafiq, adik bongsu mereka, memang jarang balik. Kalau balik pun selalunya sebab mahu minta duit. Kadang-kadang dia berjanji mahu berubah, tetapi esoknya hilang lagi.
Sudah beberapa kali Rafiq melukakan hati ayah — meninggikan suara, menjual motosikal lama ayah tanpa izin, bahkan pernah berkata ayah “menyusahkan” apabila ayah meminta tolong hantar ke klinik.
Hafiz masih ingat malam ayah menangis diam-diam di beranda selepas Rafiq pergi dengan marah.
Ayah cuma cakap, “Budak tu panas hati sikit. Tapi hati dia tak jahat.”Hafiz pula yang geram.“Yah, sampai bila ayah nak bela dia?”Ayah menjawab perlahan, “Sampai ayah tak ada.”Kini ayat itu datang semula, mengetuk-ngetuk kepala Hafiz.Hani menghantar gambar seterusnya.
Halaman itu khas tentang Hafiz. Hafiz — anak sulung. Kerja di KL.Kalau dia tak angkat telefon, dia tengah kerja. Jangan call banyak kali. Nanti dia penat.Dia suka kopi kurang gula. Dia tak makan petai.
Kalau Hafiz balik, jangan lupa peluk dia. Dia jarang balik, tapi dia anak yang baik.
Hafiz membaca ayat itu berkali-kali.Dia jarang balik, tapi dia anak yang baik.
Air matanya jatuh sebelum sempat dia tahan.
Dia terus membuka log panggilan.Ada tujuh panggilan tidak dijawab daripada ayah malam tadi.Tujuh.
Hafiz terduduk di tepi katil. Dalam kepalanya terbayang ayah duduk seorang diri di rumah kampung, memegang telefon, menekan nombor anaknya berkali-kali. Mungkin selepas setiap panggilan tidak berjawab, ayah membuka buku nota itu semula, membaca ayat yang ditulisnya sendiri.
Kalau dia tak angkat telefon, dia tengah kerja. Jangan call banyak kali. Nanti dia penat.
Hafiz menutup muka dengan kedua-dua tangan.“Ya Allah, ayah…” Mesej Hani masuk lagi.
Doktor cakap ayah mungkin mula dementia, bang. Hani baru tahu semalam masa bawa dia check-up. Ayah tak nak bagitahu abang.
Katanya abang sibuk kerja.Hafiz tidak tunggu lagi.Dia bangun, mandi ala kadar, capai kunci kereta, dan terus menghantar mesej kepada bosnya.
Emergency leave. Ayah sakit. Saya balik kampung.
Sepanjang perjalanan, Hafiz memandu dengan mata yang berkaca.Di radio, suara penyampai bercakap tentang cuaca. Di jalan raya, kereta bergerak perlahan. Tapi dalam hati Hafiz, semuanya menjadi senyap.Dia hanya teringat satu perkara.
Malam tadi, ayah menelefon tujuh kali.Dan dia tidak menjawab walau sekali.Apabila Hafiz sampai di rumah kampung, matahari sudah condong ke barat.Rumah kayu itu masih seperti dulu. Catnya semakin pudar. Pokok mangga di tepi halaman semakin rendang. Kerusi rotan di beranda masih di tempat yang sama, tempat ayah selalu duduk sambil memerhatikan jalan.Ayah memang ada di situ.Duduk seorang diri.Baju pagoda putihnya longgar di badan. Kain pelikatnya tersimpul kemas. Rambutnya yang dulu hitam pekat kini hampir semuanya putih. Di tangannya ada buku nota biru.
Hafiz mematikan enjin kereta.Ayah mengangkat muka.Mereka berpandangan.Beberapa saat berlalu.
Kemudian ayah bertanya, “Kenapa kamu balik?”Soalan itu ringkas, tetapi cukup untuk meruntuhkan seluruh kekuatan Hafiz.
Dia berjalan laju ke beranda, mencangkung di depan ayah, lalu memeluk lelaki tua itu sekuat-kuatnya.
“Ayah…”Suaranya pecah.“Ayah, maafkan Hafiz, yah. Maafkan Hafiz…”Ayah kaku seketika.
Kemudian tangannya naik perlahan-lahan, menepuk belakang Hafiz seperti waktu Hafiz kecil dulu.
“Dah besar pun kuat menangis lagi.” Hafiz semakin teresak.
“Ayah call malam tadi… Hafiz tak angkat. Hafiz penat, yah. Tapi Hafiz tak patut buat macam tu.”Ayah diam.
Lama dia diam, seolah-olah sedang mencari sesuatu dalam kepalanya. Kemudian dia berkata perlahan,“
Ayah tahu ayah selalu tanya benda sama.”Hafiz mengangkat muka.Ayah memandang jalan kampung yang sunyi.“Ayah cuma takut…” Suara ayah bergetar. “Takut nanti bila kamu balik, ayah dah tak kenal kamu.”
Hafiz menggenggam tangan ayah. Tangan itu kasar, berkedut, dan sejuk sedikit. Tangan yang dulu membawanya ke sekolah. Tangan yang dulu menampar nyamuk di kakinya ketika dia tidur. Tangan yang dulu menolak motosikal buruk sejauh dua kilometer semata-mata mahu Hafiz sampai ke dewan peperiksaan tepat waktu.Tangan yang sama, kini perlahan-lahan kehilangan kekuatan.
“Mulai hari ni Hafiz balik selalu, yah.”
Ayah memandangnya.
“Betul?”
“Betul.”
“Kerja kamu?”
“Kerja boleh tunggu. Ayah tak boleh tunggu.”
Ayah tersenyum kecil.
Matanya berkaca, tetapi dia cepat-cepat memandang ke arah lain.
“Masuklah. Hani masak kari ikan. Tapi ayah tak ingat dia letak garam ke belum.”
Dari dapur, suara Hani mencelah sambil ketawa kecil, “Ayah yang letak garam tiga kali tadi.”
Hafiz ketawa dalam tangis.
Rumah itu, buat pertama kali selepas sekian lama, terasa hangat semula.
Sejak hari itu, Hafiz berubah.
Setiap hari Jumaat selepas kerja, dia akan memandu balik ke kampung. Kadang-kadang sampai rumah tengah malam. Kadang-kadang hujan lebat sepanjang jalan. Kadang-kadang dia terlalu letih sampai berhenti tidur sekejap di stesen minyak.Tetapi dia tetap balik.
Pada awalnya, ayah masih mengenalinya.
“Hafiz balik?”
“Balik, yah.”
“Esok kerja?”
“Cuti, yah.”
“Dari KL jauh?”
“Jauh sikit, tapi tak apa.”
Kadang-kadang soalan yang sama diulang lima kali dalam masa setengah jam.
Dulu, Hafiz mungkin akan berkata, “Ayah kan dah tanya tadi.”Sekarang tidak lagi.Setiap kali ayah bertanya, Hafiz menjawab seperti itu kali pertama dia mendengar soalan tersebut.Sebab dia sudah faham.Ayah bukan sengaja lupa.Ayah sedang melawan kehilangan yang dia sendiri tidak mampu kawal.
Hafiz membeli album gambar besar. Dia tampal gambar keluarga mereka satu per satu. Gambar arwah mak sedang tersenyum di dapur. Gambar Hafiz memakai jubah konvokesyen. Gambar Hani dengan anak-anaknya. Gambar Rafiq semasa kecil, berdiri di sebelah ayah sambil memegang layang-layang.
Di bawah setiap gambar, Hafiz menulis dengan huruf besar.
SALMAH — ISTERI AYAH.
HAFIZ — ANAK SULUNG.
HANI — ANAK KEDUA.
RAFIQ — ANAK BONGSU.
Ayah akan membelek album itu setiap pagi.
Kadang-kadang dia tersenyum.Kadang-kadang dia bertanya,
“Ini siapa?” Hafiz akan menjawab lembut, “Itu mak, yah.” Ayah akan terdiam lama.“Salmah?” “Ya. Isteri ayah.”
Ayah mengusap gambar itu dengan hujung jari. “Dia baik orangnya.”
Hafiz menahan sebak.“Ya, yah. Mak memang baik.”
Rafiq pula masih sama. Dia jarang balik. Kalau Hafiz menelefon, kadang-kadang tidak berjawab. Kalau Hani menghantar mesej tentang keadaan ayah, dia hanya membalas pendek. Aku sibuk. Nanti aku balik. Tetapi “nanti” itu tidak pernah sampai.Suatu petang, Rafiq akhirnya muncul di rumah kampung. Bukan kerana rindu, tetapi kerana mahu meminjam duit.
Ayah sedang duduk di ruang tamu, memegang buku nota. Hafiz sedang membetulkan kipas yang rosak, sementara Hani melipat kain. Rafiq masuk tanpa memberi salam yang jelas.
“Bang, aku nak pinjam duit sikit.” Hafiz memandangnya.
“Kau baru sampai dah minta duit?”
“Aku ada hal.”
“Hani dah mesej kau banyak kali pasal ayah. Kau baca tak?” Rafiq menjeling.
“Aku baca. Tapi aku pun ada hidup aku.”
Ayah mengangkat muka, memandang Rafiq lama-lama.“Ini siapa?” tanya ayah. Rafiq tersentak. Hani berhenti melipat kain. Hafiz mengetap bibir.“Ayah, ini Rafiq,” kata Hafiz perlahan. “Anak ayah.”
Ayah membuka buku nota dengan tangan terketar-ketar. Dia mencari halaman tertentu, lalu membaca perlahan.“Rafiq… anak bongsu. Lama tak balik. Jangan marah dia. Dia tetap anak aku.”Rafiq terdiam.Untuk seketika, wajahnya berubah. Ada sesuatu yang retak di matanya. Tetapi egonya lebih cepat menutup luka itu.
Dia ketawa kecil, hambar.“Ayah ni dah makin teruk, ya?”Hafiz terus bangun.“Jaga mulut kau, Rafiq.”“Aku cakap benda betul.”“Itu ayah kita.”Rafiq mengangkat bahu.“Aku tahu. Tapi kalau dah sakit macam ni, hantar je pusat jagaan. Senang semua orang.”Hani menutup mulut, terkejut.
Ayah memandang mereka seorang demi seorang, tidak faham kenapa suara anak-anaknya meninggi. Buku nota di tangannya digenggam kuat.Hafiz melangkah ke arah Rafiq.“Kau baliklah.”Rafiq menjeling.“Aku memang nak balik pun.”Sebelum keluar, ayah tiba-tiba memanggil, “Rafiq.”Rafiq berhenti di muka pintu.Ayah membelek buku notanya. Kemudian dia berkata, “Kalau kamu lapar, nasi ada. Ayah tak ingat lauk apa… tapi makanlah dulu.”Rafiq tidak menoleh.“Tak payah.”Dia pergi begitu sahaja.
Ayah memandang pintu yang terbuka. Lama.Kemudian dia bertanya kepada Hafiz, “Budak tu marah ayah ke?” Hafiz duduk semula di sebelah ayah.“Tak, yah. Dia cuma penat.”Ayah mengangguk perlahan.“ Jangan marah dia. Dia anak ayah juga.”Hafiz memandang wajah ayah.
Dalam hati, dia tertanya-tanya bagaimana seorang ayah boleh menyimpan kasih sedalam itu untuk anak yang berkali-kali melukakannya.Mungkin itulah kasih seorang ayah.
Tidak bising.Tidak banyak cakap.Tetapi tetap ada, walaupun sering tidak dihargai. Bulan demi bulan berlalu. Keadaan ayah semakin merosot. Ada pagi ayah bangun dan menyangka Hafiz masih sekolah rendah.
“Hafiz, cepat mandi. Nanti lambat bas sekolah.” Hafiz hanya tersenyum.
“Cuti sekolah hari ni, yah.” Ada malam ayah berdiri di depan bilik arwah mak, memanggil nama Salmah berkali-kali.“Mah… Mah…” Hani menangis di dapur. Hafiz memimpin ayah kembali ke katil.“Mak dah tidur, yah.”
Ayah mengangguk, tetapi matanya kosong.
Buku nota biru itu semakin tebal dengan tulisan Hafiz dan Hani. Mereka menambah peringatan baru. Kalau bangun malam, panggil Hani. Jangan keluar rumah seorang diri. Kalau nampak Salmah, baca Al-Fatihah. Salmah sudah meninggal. Kalau Hafiz balik hari Jumaat, peluk dia. Kalau Rafiq balik, jangan lupa senyum. Tetapi Rafiq masih tidak balik.
Sehinggalah satu malam, ayah jatuh di bilik air.Hafiz menerima panggilan daripada Hani pukul dua pagi.“Bang…” Suara Hani menggigil. “Ayah jatuh. Hani tengah tunggu ambulans.”Hafiz tidak ingat bagaimana dia memandu malam itu.
Yang dia tahu, ketika sampai di hospital, ayah sudah terbaring di katil kecemasan dengan wayar di tangan dan oksigen di hidung.Tubuh ayah kelihatan terlalu kecil di atas katil putih itu.
Hafiz berdiri di sisi ayah, menggenggam tangannya.“Ayah, Hafiz ni.”Ayah membuka mata perlahan.Dia memandang Hafiz lama-lama.“Kamu siapa?”Hafiz menelan sebak. Soalan itu bukan kali pertama.
Tetapi malam itu, sakitnya lain macam.“Hafiz, yah. Anak ayah.”Ayah kelihatan keliru. Hafiz mengambil buku nota biru dari beg Hani dan membukanya pada halaman yang selalu ayah baca.
Dia letakkan di tangan ayah. Ayah membaca dengan susah payah.
“Hafiz… anak sulung… kerja di KL…” Matanya bergerak perlahan ke baris bawah .“Kalau Hafiz balik… jangan lupa peluk dia…” Ayah mengangkat muka. Ada cahaya kecil dalam matanya.
“Oh… Hafiz.”Hafiz mengangguk, air mata sudah jatuh ke pipi.“Ya, yah. Hafiz.” Ayah tersenyum. “Anak ayah yang selalu balik hari Jumaat.” Hafiz membongkok dan memeluk ayah perlahan-lahan, takut menyakiti tubuh tuanya. “Ayah jangan takut. Hafiz ada.” Ayah berbisik,
“Rafiq?” Hafiz kaku. Ayah memandangnya dengan mata yang letih.
“Rafiq dah makan?” Hafiz tidak mampu menjawab. Dalam keadaan begitu pun, ayah masih ingat untuk risaukan anak yang paling jauh. Rafiq sampai ke hospital keesokan paginya. Itupun selepas Hani menelefon berkali-kali dan akhirnya menghantar mesej: Kalau kau nak tengok ayah, balik sekarang. Jangan tunggu sampai kita cuma boleh baca Yasin.
Rafiq tiba dengan wajah kusut. Rambutnya tidak terurus. Matanya merah, mungkin kerana tidak cukup tidur. Dia berdiri di hujung katil, canggung.Ayah sedang tidur. Hafiz memandang Rafiq tanpa berkata apa-apa. Hani pula duduk di kerusi, memegang tasbih. Rafiq mendekati katil ayah perlahan-lahan.“Yah…”Ayah membuka mata sedikit. Rafiq cuba tersenyum. “Rafiq ni, yah.”Ayah memandangnya lama.Kosong.T
iada tanda kenal.Rafiq menunggu. Senyumannya perlahan-lahan hilang.“Rafiq, yah. Anak ayah.”Ayah masih memandangnya seperti memandang orang asing.
Kemudian ayah bertanya perlahan, “Hafiz mana?” Rafiq terkedu.Hafiz yang berdiri di belakang terus mendekat. “Hafiz ada, yah.”Ayah memegang tangan Hafiz. “Hani?”“Hani ada, yah.”“Rafiq?”Suara ayah sangat perlahan.Rafiq cepat-cepat menyahut, “Rafiq ada, yah. Rafiq kat sini.”Ayah memandang ke arah suara itu, tetapi matanya tetap keliru.
“Hafiz…” bisik ayah. “Kalau Rafiq balik… jangan marah dia.” Hafiz menutup mata. Rafiq terduduk di kerusi. Kali ini egonya tidak sempat menyelamatkannya. Air matanya jatuh satu per satu. “Yah, maafkan Rafiq…”Ayah tidak menjawab. Mungkin tidak dengar. Mungkin tidak faham. Mungkin dalam ingatannya, Rafiq masih budak kecil yang berlari di halaman, mengejar layang-layang bersama ayah.
Rafiq menggenggam kaki katil.“Yah… Rafiq minta maaf. Rafiq banyak sakitkan hati ayah. Rafiq tak patut cakap macam-macam. Rafiq tak patut biar ayah tunggu…” Hani menangis tanpa suara. Hafiz meletakkan tangan di bahu adiknya.“Cakaplah. Walaupun ayah tak jawab, cakap.” Rafiq mendekatkan wajahnya ke tangan ayah. Dia cium tangan itu berkali-kali. Tangan yang dulu menyuapnya makan. Tangan yang dulu memegang basikalnya sampai dia pandai mengayuh. Tangan yang dulu tetap menghulurkan duit walaupun tahu duit itu mungkin akan disalahgunakan. Tangan yang dulu dia tepis dengan kasar. Kini tangan itu diam sahaja.
Ayah meninggal dunia tiga hari kemudian. Pagi Jumaat.Hari yang Hafiz selalu balik. Langit kampung mendung sejak subuh. Hujan renyai turun ketika jenazah ayah dibawa pulang ke rumah. Orang kampung datang seorang demi seorang. Ada yang membaca Yasin. Ada yang membantu menyiapkan liang lahad. Ada yang memeluk Hafiz dan berkata, “Ayah kamu orang baik.” Hafiz hanya mengangguk.
Hani menangis di sisi jenazah. Rafiq pula duduk di sudut ruang tamu, memegang buku nota biru. Sejak ayah pergi, dia tidak melepaskan buku itu. Dia membaca setiap halaman. Satu per satu.**Rafiq suka ayam goreng bahagian kepak. Rafiq masa kecil takut gelap. Kalau dia tidur rumah, pasang lampu dapur. Rafiq pernah jatuh parit umur tujuh tahun. Jangan gelakkan dia. Rafiq lama tak balik. Kalau dia balik, jangan tanya kenapa lama. Nanti dia pergi semula. Kalau Rafiq minta duit, tanya dulu dia makan atau belum.** Rafiq menekup mulut.
Setiap ayat seperti pisau halus yang masuk ke dada. Ayah tidak menulis tentang salahnya. Ayah tidak mencatat tentang suaranya yang kasar, motosikal yang dijual, duit yang tidak dibayar, atau janji yang sering dimungkiri. Ayah hanya mencatat cara untuk terus menyayanginya.Di halaman terakhir, tulisan ayah hampir tidak terbaca. Garisnya bergetar, dakwatnya ada yang comot.Kalau aku lupa nama anak-anak aku, Ya Allah jangan biar hati aku lupa sayang mereka.Rafiq menangis teresak-esak.
Buat pertama kali dalam hidupnya, dia menangis bukan kerana susah. Bukan kerana marah. Bukan kerana mahu simpati.Dia menangis kerana akhirnya sedar, ada kasih yang terlalu besar, tetapi dia hanya sempat menghargainya selepas kasih itu dikafankan.Selepas jenazah ayah dikebumikan, Hafiz duduk lama di tepi kubur.Tanah merah masih basah. Bunga rampai masih segar. Bacaan talkin sudah selesai, tetapi Hafiz belum mampu bangun.Hani berdiri di belakangnya bersama suami. Rafiq duduk sedikit jauh, memeluk lutut seperti kanak-kanak yang kehilangan arah.Angin petang bertiup perlahan.
Hafiz mengeluarkan telefon dari poket. Dia membuka aplikasi Facebook. Jarinya terhenti lama di ruang kosong untuk menulis status.Akhirnya, dia menaip.Sejak dua bulan lepas, ayah saya telefon hampir setiap malam dan tanya benda yang sama.“Esok kamu balik tak?”Mula-mula saya jawab elok. Lama-lama saya rimas. Satu malam, saya sengaja tak angkat. Esok pagi, adik saya hantar gambar buku nota yang ayah sorok bawah bantal.Rupanya ayah mula dementia. Ayah tulis semua benda yang dia takut lupa. Nama anak-anak. Nombor telefon. Makanan kegemaran kami. Cara untuk kenal kami semula.
Dalam buku itu, ayah tulis tentang saya:“Kalau Hafiz tak angkat telefon, dia tengah kerja. Jangan call banyak kali. Nanti dia penat. Kalau Hafiz balik, jangan lupa peluk dia. Dia jarang balik, tapi dia anak yang baik.”Saya menangis bila baca. Sebab malam sebelumnya, ayah telefon tujuh kali. Saya tak angkat satu pun.Hari ini ayah sudah tiada. Dan saya cuma mahu pesan satu benda. Kalau mak ayah ulang soalan yang sama, jawablah elok-elok. Kalau mereka telefon waktu kita sibuk, angkatlah walau sekejap. Kalau mereka minta kita balik, usahakanlah. Kita selalu fikir kita ada masa.Tapi kadang-kadang, masa yang kita tangguh itu rupanya masa terakhir mereka masih ingat nama kita
Hafiz berhenti menaip.
Dia memandang Rafiq. Adiknya itu masih menangis, memegang buku nota ayah di dada.
Hafiz menyambung satu perenggan lagi.
“Dan kalau kita pernah jadi anak yang jauh, anak yang keras hati, anak yang selalu menyakiti… baliklah sebelum terlambat. Jangan tunggu sampai tangan yang mahu kita cium sudah kaku. Jangan tunggu sampai suara yang memanggil nama kita hanya tinggal dalam ingatan.” Dia tekan post.
Kemudian Hafiz menyimpan telefon dan membaca Al-Fatihah perlahan-lahan. Di sebelahnya, Rafiq datang duduk. Lama mereka diam. Akhirnya Rafiq bersuara, serak.
“Bang…”
“Hm?”
“Kalau ayah masih ada… agaknya ayah maafkan aku tak?” Hafiz memandang tanah kubur ayah.
Kemudian dia menjawab perlahan,
“Ayah dah maafkan kau lama sebelum kau minta maaf.” Rafiq menunduk. Air matanya jatuh ke tanah.
“Cuma aku yang lambat sedar.” Hafiz meletakkan tangan di bahu adiknya.“Kita semua lambat dalam cara masing-masing.”
Langit semakin gelap. Hujan renyai turun semula, membasahi tanah kubur yang masih merah.Hafiz teringat suara ayah.
Kalau Hafiz balik, jangan lupa peluk dia. Dia memejamkan mata. Kini tiada lagi panggilan pukul sembilan malam. Tiada lagi suara bertanya, “Esok kamu balik tak?” Tiada lagi tangan tua menepuk belakangnya sambil berkata, “Dah besar pun kuat menangis lagi.” Yang tinggal hanya sebuah buku nota biru. Dan penyesalan yang mengajar mereka menjadi anak, ketika ayah sudah tidak lagi boleh dipanggil. Tetapi mungkin, dalam rahmat Tuhan, perubahan yang lahir daripada penyesalan itu masih ada nilainya. Kerana sejak hari itu, Hafiz tidak pernah lupa pulang ke kampung setiap Jumaat — bukan lagi untuk menemui ayah di beranda, tetapi untuk menyiram pusara ayah dan membaca doa.
Rafiq pula mula berubah sedikit demi sedikit. Dia bekerja semula. Dia menjaga solatnya. Dia selalu menemani Hani menziarahi kubur ayah. Setiap kali dia datang, dia akan duduk lama di sisi pusara, membaca halaman terakhir buku nota itu dengan suara perlahan. Kalau aku lupa nama anak-anak aku, Ya Allah jangan biar hati aku lupa sayang mereka. Dan setiap kali itu juga, Rafiq akan menangis. Bukan kerana ayah lupa namanya. Tetapi kerana dia akhirnya faham.S eorang ayah boleh hilang ingatan. Tetapi kasih seorang ayah, selagi Tuhan izinkan, tidak pernah benar-benar lupa jalan pulang kepada anak-anaknya